Monday, May 25, 2009

RAM-RAMA

Dia terjumpa sebuah kepompong rama-rama tergantung di dahan. Pada suatu hari dia melihat ada lubang kecil pada kepompong itu. Beberapa jam dia asyik memerahatikan rama-rama itu berhempas-pulas untuk keluar melalui lubang kecil itu. Selepas itu, dia melihat rama-rama itu tidak bergerak lagi.
Dia ingin membantu sang rama-rama. Diguntingnya kepompong itu, dengan harapan mudah bebas daripada kepompongnya.
Sesungguhnya, dengan mudah, rama-rama itu dapat keluar. Tetapi badan rama-rama itu masih kelihatan membengkak. Sayapnya juga kelihatan masih kecil dan lemah.
Dia terus memerhati rama-rama itu. Dia mengharapkan pada bila-bila masa sahaja, sayap rama-rama itu akan membesar dan dapat menampung badannya yang akan mengecut.
Tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku. Malah rama-rama itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan merayap sahaja dengan badannya yang bengkak dan sayapnya yang kecil. Rama-rama itu tidak pernah berupaya untuk terbang.
Dalam belas kasihan dan keikhlasan untuk membantu, dia tidak faham bahawa kepompong yang sempit itu dan kudrat serta susah-payah rama-rama itu untuk keluar daripada lubang halus kepompongnya adalah kententuan ciptaan Allah. Usaha rama-rama itu akan memaksa cairan daripada bandannya mengalir ke arah pembesaran sayapnya. Dengan cara itu badannya akan mengecut. Hanya dengan demikian, rama-rama itu barulah bersedia untuk terbang setelah membebaskan dirinya daripada kepompong itu.
Bookmark and Share

LEMBU DALAM PERIGI

Ada lembu jatuh ke dalam perigi yang dalam (tetapi cetek airnya). Menjeritlah sang lembu, berjam-jam lamanya, sementara si petani, tuannya itu memikirkan apa yang patut dibuat. Akhirnya, dia dapat membuat keputusan. Biarlah lembu itu mati. Lembu tua. Tidak berbaloi diselamatkan. Timbus sahaja perigi itu. Petani itu pun meminta pertolongan raka-rakan sekampungnya. Datanglah mereka membawa cangkul dan penyodok tanah. Mulalah mereka menimbus perigi yang di dalamnya sang lembu tua itu.

Semua haiwan di ladang itu amat marah dengan kejadian itu. Lembu itu sahabat mereka. Mereka tidak berdaya untuk membantu. Mulanya apabila sang lembu tahu dia akan ditimbus hidup-hidup, menjeritlah ia sekuat-kuatnya. Kemudian, dia terus senyap - menghairankan petani-petani di situ. Selepas penat menimbus perigi dan lembu tua itu, petani-petani itupun menjenguk ke dalam perigi, dan yang dilihat mereka, menimbulkan kehairanan yang amat.

Setiap cangkulan tanah singgah di belakangnya, sang lembu tua melakukan sesuatu yang menakjubkan. Sang lembu akan segera menggerak-gerakkan badannya setiap kali terasa tanah menimpa belakang. Sang lembu akan memijak tanah yang semakin menimbusi perigi itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang, setiap kali timbunan tanah menimpa belakangnya. Akhirnya semua petani kehairanan. Lembu tua itu, sampai ke birai perigi di atas timbunan tanah dan berjalan menuju ke arah rakan-rakannya.

Dalam kehidupan kita, seringkali akan ditimbuni masalah – pelbagai masalah. Tetapi setiap kesukaran boleh menjadi batu loncatan. Apa yang berlaku tidaklah sepenting bagaimana kita bertindak mengatasinya. Kita boleh menghadapi pelbagai masalah hanya dengan tidak berputus asa.!

PAKAI KASUT YB

Ketika Yang Berhormat Wakil Rakyat melangkah memasuki pintu keretapi, kasut yang di kaki kirinya terlucut dan terjatuh di tepi landasan. Tidak sempat diambilnya kasut itu kerana keretapi sudah mulai bergerak. Penumpang keretapi kehairanan melihat YB itu dengan selambanya menanggalkan kasut yang sebelah kanan dan mencampak kasut itu ke tepi landasan, berhampiran kasut yang terlucut. Seorang penumpang bertanya kenapa dia berbuat begitu. YB berkata: “Jika ada orang miskin yang menemui kasut itu, tentulah dia boleh memakainya”.

AJALNYA TUPAI

Seorang petani amat marah akan tupai yang makan buah mangga di belakang rumahnya. Hendak ditembak, senapang tiada. Diletak racun, tidak dimakannya. Hendak dikejar, tidak terdaya.

Hatinya marah, semarak membara. Geramnya menyebak dada. Dalam marahnya itu, sempat jua dia menyiapkan sebuah perangkap. Dipasang segera di dahan pohon mangga tempat laluan sang tupai.

Petang itu, hampir waktu maghrib, perangkapnya mengena. Seeokar tupai terlompat-lompat di dalam perangkap. Namun hatinya masih belum puas selagi dendam kesumat belum terlepas, selagi sang tupai belum terhapus.

Dalam marahnya, si petani menyirami badan sang tupai dengan minyak tanah. Melompat-lompat, berdecit-decit sang tupai dibasahi minyak. Tanpa banyak fikir lagi, sang petani mencucuh api ke badan sang tupai.

Menjerit sang tupai kebakaran. Akhirnya, dalam rontaannya, sang tupai melepaskan diri. Tidak keruan lompatannya, sepantas kilat memanjat bumbung atap nipah rumah si petani.

Malam itu, terang semarak lidah api menjilat rumah si petani hingga menjadi abu.

OH CIKGU!

“Awak cikgu?” dia bertanya. “Siapa yang awak ajar?”

“Pelajar pintar semuanya,” sambil tersenyum saya memberi jawapan.

“Er… maksud saya, bangsa mereka?” dia bertanya lagi.

“Kebanyakannya, orang mendatang, terpaksalah saya belajar banyak bahasa

supaya saya dapat terus bekerja.” saya menjawab dan senyum lagi.

“Oh!”

Ada juga Bangla dan Kampuchea..” saya terus memberitahu.

“Ah…”

Myanmar dan Nepal pun ada..” saya maklumkan sambil senyum.

“Uh…”

“Orang Indon pun ramai juga..” dengan suara yang lebih jelas saya khabarkan.

“Ya.. ke begitu… tapi tak ada lagi ke orang Melayu yang hendak diajar?” dia bertanya dan terus pergi.

Tidak sempat saya memberi jawapan.


{cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tiada kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau yang sudah mati}

KECUT

GUSAR

Seorang petani tua di Kampung Raja sangat gusar. Anak semaiannya lambat membesar. Satu demi satu dia mencabut anak padi yang baru tumbuh di tapak semaian. Dia pulang keletihan.
“Saya penat hari ini. Saya usahakan supaya anak semaian lebih cepat membesar. Harap-harapnya kita tidak perlu lagi membeli beras yang semakin mahal” dia memberitahu keluarganya.
Tergesa-gesa anak lelakinya ke sawah untuk mengutip hasilnya. Melihat semaian padi yang telah layu, di berkata kepada dirinya: benarlah kata ayah, cepatnya membesar padi ini. Tidak sempat dituai sudah kecut dan layu.
Dia pulang ke rumah dan terasa amat lapar.
(cerita ini hanya rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang sudah mati)
Bookmark and Share

SEBAK

Pulang ke kampung

Taraf hidup di Kuala Lumpur semakin melonjak. Apakah Awang masih sanggup tinggal di bandaraya itu. Awang mengambil keputusan berhenti kerja. Dia mahu segera pulang ke kampung. Diapun berkemas. Ketika itu dia terjumpa sekeping gambar hitam-putih. Gambar dirinya sewaktu kecil, duduk di ribaan ayahnya. Melihat gambar itu, Awang menahan sebak kerana tidak tertahan rasa hendak menangis. Akan pulangkah dia ke kampungnya…


(Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati)